KERAJAAN Johor menerusi Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) masih meneruskan bantuan dermasiswa dan pinjaman kepada pelajar Johor yang melanjutkan pengajian di Mesir dan Jordan.

Exco Agama Johor, Abd Mutalip Abd Rahim berkata, bantuan dermasiswa pelajaran disediakan untuk pelajar pengajian Islam dengan jumlah RM6,000 setahun bagi pelajar di Mesir manakala RM8,000 bagi pelajar di Jordan.

“Pelajar bidang perubatan dan pergigian pula, mereka menerima pinjaman pelajaran RM30,000 setahun untuk enam tahun pengajian,” katanya menjawab soalan Abdullah Husin (Pas-Puteri Wangsa) mengenai bantuan yang diberi kerajaan Johor bagi membantu pelajar Johor di luar negara seperti Mesir, pada Persidangan Dun Johor di sini hari ini.

Abd Mutalip berkata, bantuan masih diteruskan termasuk pemberian kepada permohonan pelajar baru walaupun beberapa agensi kerajaan seperti Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Majlis Amanah Rakyat (Mara) telah membekukan permohonan kepada pelajar baru.

Beliau berkata, pemberian bantuan berkenaan tertakluk kepada kuota yang ditetapkan kerana perbelanjaan MAINJ juga perlu mengambil kira lain-lain keperluan asnaf di Johor.

Sumber: http://www.sinarharian.com.my

72total visits,1visits today