JABATAN Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) diminta mengeluarkan pekeliling kepada semua Sekolah Kebangsaan (SK) di negeri ini untuk tidak mengadakan majlis meraikan calon pencapaian terbaik Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang akan diumumkan Khamis ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman, berkata semua pengurusan sekolah perlu akur dengan arahan itu demi menjaga hati murid serta ibu bapa yang anak mereka kurang mendapat keputusan cemerlang.

Katanya, kerajaan negeri akur dan menyokong penuh arahan dikeluarkan Kementerian Pendidikan dan pengurusan semua sekolah rendah diminta mematuhinya.

Ini kerana katanya, murid yang mendapat keputusan kurang cemerlang juga menyumbang kepada gred purata sekolah.

“Kerajaan negeri berpendapat adalah lebih baik JPNT dan pengurusan sekolah rendah mencari kaedah untuk tingkatkan usaha bagi membantu semua calon UPSR mendapat keputusan cemerlang pada peperiksaan akan datang,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan program Tranformasi Siswazah Terengganu (TGTP), di sini, hari ini.

Sumber: https://www.bharian.com.my

44total visits,1visits today