BENAR kata orang, setiap individu itu ujian­nya berbeza-beza.

Bagi Lia (bukan nama sebenar), ujian yang diterima­nya cukup berat dan sehingga kini dia masih belum nampak jalan keluar dan bagaimana mahu menyelesaikannya.

Dia terjerat dalam perkahwinan yang tidak membahagiakan dan keengganan suami melepaskannya menjadikan Lia buntu serta cukup terseksa.

Sambil menghela nafas panjang, wanita berusia 28 tahun itu mula membuka bicara tentang kisah gelap dalam hidupnya.

“Saya dinikahkan selepas ditangkap khalwat dengan seorang kenalan.

“Ketika itu, suami saya, Sham (bukan nama sebenar) datang ke rumah sewa saya bersama dua orang rakan lain untuk men­yiapkan tugasan yang diberi oleh pensyarah. Begitu pun, beberapa minit kemudian, dua orang rakan Sham meninggalkan kami berdua di dalam rumah kerana pergi ke kedai runcit membeli rokok.

“Memandangkan kedai itu terletak hanya beberapa kilometer dari rumah saya, saya yakin tiada apa-apa perkara buruk yang akan berlaku. Begitu pun, saya terkejut apabila didatangi oleh anggota dari pejabat agama.

“Saya dan Sham terpaksa dinikahkan bagi menutup malu,” luah Lia.

Wanita berambut panjang itu menambah, memandangkan Sham hanyalah seorang kenalan, dia tidak mampu untuk menerima lelaki itu sebagai suami.

“Saya tidak begitu mengenali Sham dan selepas kami dinikahkan, saya benar-benar tidak boleh menerima dia sebagai suami saya.

“Hubungan kami amat dingin dan saya langsung tidak menunaikan tanggungjawab saya sebagai seorang isteri. Saya benar-benar mengabaikan Sham,” ujar Lia.

Terlanjur

Selepas berkahwin, kedua-dua mereka memilih untuk tinggal di rumah ibu bapa masing-masing. Lia tinggal bersama keluarga di sebuah negeri di selatan tanah air, manakala Sham pula tinggal di ibu kota.

Beberapa bulan kemudian, ke­dua-dua mereka menamatkan pengajian dengan cemerlang dan mula mencari haluan masing-masing. Lia diterima bekerja di sebuah syarikat swasta berhampiran, manakala Sham pula bekerja di Selangor.

Biarpun memegang status sebagai isteri orang, Lia berani berpacaran dengan rakan sepejabatnya, Khairul (bukan nama sebenar).

Kedua-dua mereka kemudiannya terlanjur dan Lia hamil anak luar nikah. Khairul kemudian mahu menikahi Lia, namun amat terkejut apabila diberitahu tentang status wanita itu.

“Selepas saya berterus terang tentang status saya, Khairul menjadi amat marah kerana tidak menyangka dia telah terlanjur dengan isteri orang.

“Khairul meninggalkan saya begitu sahaja dan tidak mahu ambil peduli langsung tentang bayi yang dikandung. Malah, dia menyuruh saya untuk membesarkan anak itu bersama suami saya,” dedah Lia.

Selepas kecewa ditinggalkan, Lia menjadi amat tertekan sehingga kandungannya gugur. Dia juga menjadi bertambah benci kepada Sham dan tidak sudah-sudah mendesak lelaki berkaca mata itu supaya menceraikannya.

Sham bagaimanapun enggan melepaskan Lia kerana dia meng­anggap jodohnya bersama Lia adalah ketentuan Tuhan dan dia sudi untuk menghabiskan sisa hidupnya bersama wanita itu.

“Sham langsung tidak mahu ceraikan saya, sebaliknya memujuk supaya menerimanya dan memulakan hidup baharu,” luah Lia.

Biarpun Sham dilayan dingin, lelaki itu merupakan seorang lelaki yang budiman dan tidak pernah sekali pun melupakan tanggungjawabnya terhadap si isteri.

Setiap bulan, Sham akan mengirimkan wang nafkah yang dima­sukkan terus ke akaun bank Lia.

Lia yang sedia maklum tentang perkara tersebut pula mengambil langkah untuk tidak membelanjakan wang tersebut. Dia benar-benar berkeras tidak mahu menerima lelaki itu dan wangnya.

Bergelumang dosa

Selain wang buat Lia, Sham juga selalu pulang ke kampung iste­rinya untuk menjenguk ibu mertua. Begitu pun, kebaikan Sham tidak berjaya melembutkan hati Lia yang keras, malah wanita itu tergamak berpacaran dengan lelaki lain.

“Saya berkawan dengan ramai lelaki dan berani berterus terang kepada mereka tentang status saya. Ada yang menjauhi saya, ada juga yang sudi untuk berpacaran sehingga kami terlanjur.

“Bagi saya, biarlah saya hidup begini daripada pergi ke pangkuan Sham. Saya enggan menerima lelaki itu dan akan terus berkelakuan seperti ini sehinggalah Sham menceraikan saya,” luah Lia.

Wanita itu tahu tindakan yang dilakukannya itu salah dan hidup­nya bergelumang dengan dosa, namun Lia mengakui dia selesa hidup bebas daripada hidup sebumbung dengan lelaki yang tidak dicintai.

“Saya tahu ramai yang marahkan saya, namun hati saya benar-benar tidak boleh menerima Sham.

“Saya juga tidak faham mengapa Sham tetap mahu memujuk saya dan enggan menerima hakikat bahawa saya tidak mahu menjadi isterinya,” keluh Lia kecewa.

Sumber: http://kosmo.com.my

646total visits,3visits today