LAGI kemalangan maut membabitkan treler terbabas di lebuh raya yang memasuki laluan bertentangan dan merempuh kenderaan lain.

Dalam kemalangan di Kilometer 197.9 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara berhampiran susur keluar Plaza Tol Ayer Keroh di sini, jam 7 malam tadi, seorang wanita maut manakala suami dan dua anaknya cedera.

Siti Sarah Azahari, 34, yang memandu Honda Jazz, tersepit dalam keretanya yang remuk akibat dirempuh treler berkenaan. Mangsa maut di tempat kejadian.

Mangsa bersama keluarga dalam perjalanan dari arah Johor Bahru menghala Seremban.

Setakat ini, nama dan umur suami serta dua anak lelaki Siti Sarah belum dikenal pasti. Tiga beranak itu yang cedera dihantar ke Hospital Alor Gajah untuk rawatan.

Pemandu treler, P Vedantham, 56, yang tersepit dalam kenderaan itu juga meninggal dunia di lokasi. Mangsa dalam perjalanan dari arah Seremban menghala Johor Bahru.

Bomba percaya kemalangan berlaku apabila treler itu terbabas dan memasuki laluan bertentangan sebelum melanggar Honda Jazz yang dinaiki empat sekeluarga.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Mohamad Hamdan Sudin, berkata pihaknya bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan jam 7.07 malam.

Sebaik tiba di lokasi, anggota bomba mendapati ada empat mangsa dalam kereta yang remuk, manakala pemandu treler tersepit dalam kenderaan berat itu.

“Kami terpaksa menggunakan pemotong hidraulik untuk mengeluarkan kedua-dua mangsa yang maut dalam masa 30 minit. Mangsa yang cedera sudah oleh orang awam lebih awal,” katanya ketika ditemui di lokasi.

Kemalangan itu menyebabkan laluan lebuh raya arah utara itu sesak sepanjang lima kilometer dan hanya lorong kecemasan dibuka.

Jumaat lalu, empat kenderaan terbabit dalam kemalangan pada jam 5.30 petang berhampiran Kawasan Rehat dan Rawat Seremban, yang mengorbankan nyawa Lau Lian Huat, 62, dan isteri, Lim Ah Gim, 60 tahun.

Kemalangan dipercayai berlaku apabila treler tanpa muatan menghala utara, hilang kawalan akibat satu tayar hadapan meletup sebelum terbabas dan lalu terlanggar pembahagi lebuh raya.

Treler itu kemudian masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan kenderaan mangsa.

Sumber: https://www.bharian.com.my

41total visits,1visits today