CUBA bayangkan betapa indahnya sekiranya setiap kerja dan aktiviti seharian kita akan ada mesin bersama-sama membantu bagi memudahkan kerja kita. Sebagai contoh, apabila pengguna kehabisan sabun pencuci pakaian pek sabun pencuci pakaian yang baru secara automatik akan dipesan dalam talian daripada kedai runcit dan kemudiannya akan dihantar ke rumah anda dengan hanya menekan satu butang sahaja. Betapa seronok dan menarikkan bunyinya.

Namun, bagi merealisasikan semua ini akan melibatkan teknologi yang sangat hebat yang digelar IoT. Pernahkah anda jumpa dengan perkataan IoT ini? Jika pernah apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan IoT? IoT adalah merupakan singkatan daripada Internet of Things. Jika dilihat dengan pertumbuhan teknologi yang berlaku sekarang, IoT dijangka akan diguna pakai secara meluas dalam beberapa tahun akan datang.

Seterusnya, ramai yang tertanya-tanya apakah itu IoT dan bagaimana IoT itu memainkan peranannya yang tersendiri? IoT sebenarnya merujuk kepada satu mesin atau peranti yang dipasang dengan penderia serta elektronik tanpa memerlukan interaksi daripada manusia untuk mengumpul, menyimpan mahupun menganalisis data. Selepas itu, mesin atau peranti tersebut perlu dihubungkan dengan Internet bagi memuat naik serta memproses data. Manakala, pengguna boleh memuat turun dan mengemaskini perisian dan pelbagai jenis aplikasi.

Apakah kelebihan IoT dalam memudahkan kerja seharian manusia? IoT memainkan peranan mengoptimakan operasi, mengurangkan kos, merangsangkan produktiviti dan memperbaiki kehidupan. Bagaimana hal ini dapat dilaksanakan? Kunci utamanya adalah dengan penggunaan mesin atau peranti yang mempunyai penderia yang berkaitan akan berkomunikasi antara satu sama lain melalui telefon atau mana-mana rangkaian komunikasi (Internet). Melalui penggunaan perisian pintar, cadangan mengenai tabiat dan lokasi pengguna dapat diberikan dengan lebih tepat.

Manakala, apakah pula manfaat yang bakal diperolehi oleh satu-satu syarikat dalam meningkatkan daya pengeluaran serta kecekapan. Hal ini dapat dibuktikan pada tahun 2016 oleh satu firma perunding teknologi Gartner Inc. yang mengunjurkan 6.4 bilion mesin atau peranti digunakan diseluruh dunia telah meningkat sebanyak 30 peratus dari tahun 2015. Lebih mengembirakan lagi apabila pada 2020 jumlah ini dijangka meningkat lebih daripada tiga kali ganda kepada 21 bilion.

Akhir sekali, teknologi IoT juga tidak bolah lari daripada serangan pihak penggodam. Akan tetapi, setiap masalah pasti ada jalan penyelesaian dengan adanya maklumat serta ilmu boleh membantu melindungi data peribadi yang dikumpul daripada produk IoT. Selain itu, pengguna juga perlu kerap kali menukar kata laluan peranti mereka yang menjadi punca utama maklumat mudah dicerobohi oleh pihak penggodam.

Kredit: Nur Amalina Burhanuddin

328total visits,1visits today