DUA anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang meninggal dunia dipercayai didera, petang kelmarin, disahkan sihat sebelum dimasukkan ke Pusat Tahanan Unit Sungai Wangi dekat Sitiawan di sini.

Panglima TLDM, Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin, berkata ujian kesihatan terhadap kedua-dua anggotanya, Laskar Kelas 1 Nik Muhammad Baihaqy Nik Mat, 28 dan Mohammad Lailatuliman Mohd Sukri, 26, mengesahkan mereka berada dalam keadaan sihat.

Katanya, laporan itu berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) yang dilakukan terhadap kedua-dua mangsa, sebelum mereka ditahan dalam bilik tahanan terbabit.

“Kita boleh sahkan kedua-duanya adalah sihat (sebelum dihantar di bilik tahanan berkenaan) namun kita tidak boleh mengulas lanjut mengenai perkara itu kerana tidak mahu membuat sebarang spekulasi.

“Setiap pusat tahanan mempunyai SOP. Ia adalah sesuatu perkara yang perlu dibuat, sebagai contoh setiap anggota yang diletakkan dalam tahanan perlu menjalani ujian kesihatan oleh doktor bagi memastikan mereka yang ditahan sihat sebelum boleh menjalani hukuman.

“Perkara itu adalah serius dan kita juga meminta orang yang pakar dalam undang-undang bagi membantu kita,” katanya.

Beliau bercakap pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penganugerahan Pingat Jasa Malaysia (PJM) kepada 51 anggota Pasukan Khas Laut (PASKAL) Veteran di Markas Panglima Hitam, Pangkalan TLDM, di sini hari ini.

Ahmad Kamarulzaman berkata, Lembaga Siasatan yang ditubuhkan TLDM sudah bersidang semalam tetapi tidak akan campur tangan dalam siasatan polis, sebaliknya lebih menjurus kepada penelitian serta mengkaji semula SOP pusat berkenaan.

“Lembaga Siasatan yang diketuai seorang pegawai berpangkat Kapten TLDM itu, dihadiri lima ahli jawatankuasa termasuk pakar bidang keselamatan dan kesihatan pekerjaan. Mereka dibenarkan membawa masuk ahli baharu sekiranya diperlukan dari masa ke semasa.

“Jawatankuasa itu akan menyiasat, sama ada anggota terbabit dalam kes itu tidak mematuhi SOP ditetapkan serta meneliti sama ada SOP berkenaan relevan dan komprehensif untuk diguna pakai,” katanya.

Beliau bagaimanapun menegaskan, pusat tahanan yang terletak di Stesen Komunikasi TLDM Sungai Wangi itu tidak akan ditutup bagi mengawal masalah disiplin anggota TLDM.

Katanya, kejadian terbabit sudah dilaporkan kepada Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Mohamed Noor.

“Mereka turut bersedih dan menzahirkan simpati kepada keluarga kedua-dua Allahyarham.

“Keadilan perlu ditegakkan. Saya akan pastikan anggota yang bersalah dikenakan tindakan undang-undang kerana ia menjejaskan imej, kebajikan dan integriti perkhidmatan,” katanya.

Sumber: https://www.bharian.com.my

36total visits,2visits today