KEMENTERIAN Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan menubuhkan pasukan khas bagi menyiasat dakwaan kes penipuan berkaitan skim perumahan mampu milik.

Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata, KPKT memandang serius dakwaan tersebut selepas syarikat terlibat tidak berdaftar dan tiada kelulusan KPKT.

“Maklumat sedang dikumpul berikutan ramai yang dakwa mereka tertipu dengan skim perumahan mampu milik. Mungkin syarikat tu buat sebagai kontraktor, bukan pemaju.

“Kita tak nak usaha kerajaan mengumumkan 1 juta rumah mampu milik menjelang 2018, ada pihak ambil kesempatan.

“Digalakkan bantu kerajaan untuk tujuan itu tapi syarat-syarat dan undang-undang mesti dipatuhi,” katanya.

Noh turut meminta pihak atau mangsa terlibat tampil supaya tindakan boleh diambil.

“Task force ini terdiri dari beberapa jabatan berkaitan termasuk PDRM dan KPDNKK dan mana-mana pihak terlibat boleh tampil beri maklumat lengkap termasuk NGO yang membantu memperjuangkan nasib mereka.

“Apabila dapat maklumat lengkap saya yakin tindakan dapat diambil. Sudah tentu ia akan dinilai dari dua aspek sama ada undang-undang jenayah atau sivil dan setakat ini, ada dua syarikat dikenal pasti terlibat dalam pembinaan rumah kos murah,” katanya.

Beliau berkata, sebarang aduan boleh dikemukakan ke Bahagian Penguatkuasaan, Jabatan Perumahan Negara di talian 03-8891 4355/03-8891 4356 atau membuat semakan maklumat pemaju dengan melayari laman web iaitu http://ehome.kpkt.gov.my.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja di Dun Kota Damansara, Rumah Pangsa Subang Perdana 3, Seksyen U3, Isnin.

Pada lawatan itu, Noh mengumumkan peruntukan RM8 juta bagi kos baik pulih lima taman di kawasan Dun Kota Damansara.- Sinar Harian

Sumber: www.mstar.com.my

137total visits,2visits today