SEORANG pemandu perkhidmatan GrabCar ditahan pihak polis petang tadi selepas menghalang tugas anggota Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam satu kejadian di Taman Segar, Cheras di sini.

Lelaki berusia 38 tahun ditahan pada pukul 6.30 petang ketika dia hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras di sini selepas anggota penguat kuasa DBKL yang terlibat membuat laporan di Balai Polis Sentul berhubung perselisihan faham antara mereka.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Chong Kok Sin berkata, berdasarkan laporan anggota DBKL berkenaan mendakwa kejadian berlaku ketika dia bersama rakan setugas dan dua pekerja syarikat kunci tayar menjalankan operasi di Taman Segar, Cheras kira-kira pukul 12.46 tengah hari semalam.

Katanya, anggota DBKL bertindak mengunci tayar kereta Perodua Myvi milik suspek berikutan meletak kenderaan di luar petak parkir.

“Tidak lama kemudian selepas menerima arahan daripada pusat kawalan DBKL, pengadu pergi semula ke lokasi berkenaan untuk membuka kunci tayar kereta itu kerana pemiliknya (suspek) hendak membayar denda.

“Bagaimanapun, kedua-dua mereka dipercayai berselisih faham hingga tercetus pertengkaran,” katanya sebentar tadi.

Menurutnya lagi, siasatan masih dijalankan bagi mengetahui punca sebenar kejadian dan pihak polis juga akan merakam keterangan saksi lain yang mempunyai kaitan dalam kes itu.

“Suspek lelaki itu kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam dan Seksyen 506 kanun sama kerana melakukan ugutan jenayah,” ujarnya.

Sumber: www.kosmo.com.my

52total visits,2visits today