SEORANG budak perempuan berusia sembilan tahun dirogol kenalan ibunya di rumah mereka di Batu 11 Cheras, dekat sini, ketika ibunya tiada di rumah, pada 16 September lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, suspek yang tinggal di rumah sama dikatakan mendekati mangsa yang sedang bermain di ruang tamu dan menunjukkan gambar lucah sebelum merogol kanak-kanak itu.

Ketika kejadian, ibu mangsa dan isteri suspek tiada di rumah kerana keluar bekerja.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Dzaffir Mohd Yusof, berkata mangsa kemudian mengadu perbuatan suspek kepada ibunya pada hari sama ketika suspek dan isterinya keluar.

Katanya, ibu mangsa membuat laporan polis pada jam 5 petang hari sama.

“Berdasarkan siasatan, mangsa, yang juga anak bongsu dan ibunya menetap bersama suspek dan isteri sejak setahun lalu. Mereka mengenali suspek sejak tujuh tahun lalu.

“Ibu mangsa, 33, berasal dari Sampang, Indonesia dan sudah 17 tahun menetap di negara ini. Suspek dan isterinya juga berasal dari Indonesia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dzaffir berkata, pemeriksaan oleh doktor di Hospital Kajang turut menemui kesan koyakan baharu pada kemaluan mangsa.

Katanya, bertindak atas maklumat dan risikan, sepasukan pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang menyerbu sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Lombong, Shah Alam dan menahan suspek berusia 34 tahun pada jam 4.15 pagi, Jumaat lalu.

Turut dirampas bersama suspek adalah dua buah telefon bimbit.

“Suspek direman tujuh hari sehingga 29 September ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol,” katanya.

Sumber: www.bharian.com.my

239total visits,1visits today