SEORANG peniaga didakwa menggunakan kapur simen dalam bancuhan adunan tepung untuk merangupkan pisang goreng jualannya.

Dakwaan terhadap Amir Mohamed Yatim, 36, disebar menerusi aplikasi WhatsApp beberapa minggu lalu mengakibatkan perniagaannya merosot, lapor Sinar Harian.

“Tuduhan kata saya guna kapur simen sampai satu Malaysia dah tahu, ibu saudara isteri saya pun ada hubungi tanya betul ke kami guna bahan itu dalam adunan goreng pisang,” katanya.

Beliau kemudian membuat aduan kepada kilang tepung yang mengakui menggunakan bungkusan tertera “Cornice Adhesive” kerana kehabisan kertas bungkusan biasa.

Namun Amir tidak perasan masalah bungkusan tepung yang dibelinya di pasar borong menggunakan kertas berbeza sehingga gambarnya menular di internet.

Beliau yang sebulan berniaga juga membuat laporan polis manakala Kementerian Kesihatan sudah mengesahkan kandungan bukan kapur simen.

“Saya nafi guna tepung campur kapur simen dalam adunan pisang goreng dijual, kepada yang sebarkan hal ini tanpa semak perkara sebenarnya tolonglah betulkan keadaan, benda ni dah tersebar seluruh negara,” katanya.

Pengarah Jabatan Perlesenan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) Muhammad Azli Miswan pula menasihati Amir memohon permit perniagaan kerana beroperasi secara haram.

Sumber: newmalaysianpost.com

38total visits,1visits today